Shuhaily Patut Dihukum

Kes konfrontasi Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dengan dua anggota polis di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bukanlah kes pertama seumpamanya melibatkan penjawat awam yang berjawatan tinggi di negara ini.
Penjawat awam sepatutnya menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada rakyat kerana mereka merupakan wajah dalam urusan pentadbiran negara selain wakil rakyat.
Namun kes melibatkan Mohd Shuhaily dan beberapa individu lain seperti dirinya, menunjukkan masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dalam soal pelantikan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.
Individu-individu itu juga wajar diberikan hukuman selayaknya meskipun mereka adalah pegawai kerajaan berjawatan tinggi.

Antara kes yang tular dalam beberapa tahun lalu, adalah melibatkan bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KKPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah pada 2022.
Pada 3 Ogos 2022, Mohd Shafiq menengking dan memalukan seorang pegawai kanan Imigresen kerana tiada pegawai bertugas di kaunter di KLIA.
Kabinet kemudiannya mengarahkan Ketua Setiausaha Negara menubuhkan jawatankuasa siasatan yang dipengerusikan oleh Peguam Negara.
Mohd Shafiq kemudiannya ditamatkan perkhidmatannya berkuatkuasa 12 Disember 2022 di bawah Peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Peraturan itu bermaksud penamatan perkhidmatan demi kepentingan awam.

Pada 22 Februari 2025, Kapten Rejimen Pertama Artileri Diraja, Tentera Darat Malaysia, Kapten Mohamad Solehudin Darus serta Kapten Ahmad Hazlan Haris Azman didakwa mencederakan seorang anggota tentera di Kem Terendak, Melaka.
Kedua-dua mereka didakwa mencederakan anggota tentera berpangkat leftenan muda itu di bahagian muka, belakang badan dan paha.
Mohamad Solehudin dan Ahmad Hazlan dihadapkan ke mahkamah sivil dan dibenarkan jaminan RM3,000 setiap seorang dengan syarat tidak menghubungi mangsa dan saksi.
Mereka juga berdepan hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor, Inspektor Sheila Sharon Steven Kumar pula tular apabila dia menengking dan merendahkan dua anggota peronda yang menyiasat aduan orang awam terhadapnya pada 2023.
Dia mengeluarkan kata-kata seperti 'Kau pangkat lagi kecil dari aku' terhadap dua anggota berkenaan.
Dia turut didakwa sekali lagi menghalang tugas seorang pegawai berpangkat Lans Koperal pada 2025.
Kedua-dua insiden itu menyebabkan Sheila digantung tugas sejak 23 Jun 2023.
Mahkamah Majistret Selayang melepaskannya tanpa membebaskan (DNAA) bagi pertuduhan Seksyen 509, tetapi Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan keputusan itu pada 31 Oktober 2023.
Sheila bagaimanapun ditangkap sekali lagi di Batu Caves pada Februari 2026 selepas bertengkar dengan seorang peniaga.

Kes-kes ini membuktikan penjawat awam berpangkat tinggi tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan pangkat mereka untuk mengherdik orang bawahan.
Sama juga seperti Mohd Shuhaily.
Dia turut gagal sebagai Ketua Pengarah AKPS kerana terbabit dalam kejadian seumpamanya seperti mereka yang disebutkan.
Mohd Shuhaily perlu dihukum atau ditamatkan perkhidmatannya serta-merta jika perlu.
Teguran boleh dibuat kepada pekerja bawahan tapi bukan dengan cara mengherdik, memaki hamun atau serangan fizikal terhadap mereka.
Pekerja bawahan juga seorang manusia, ada hati dan perasaan. Operasi pentadbiran negara juga berjalan disebabkan mereka.
Malangnya, Mohd Shuhaily tidak menghargai pekerja bawahan dan dia telah gagal sebagai Ketua Pengarah AKPS.
Comments
Post a Comment